Friday, October 31, 2014

Berdayung di malam Aidil Adha.

Sabtu 4hb Oct 2014 @ 9hb Zulhijah 1435.

Kali ke dua saya bersiap-siap untuk beraya di Teratak Dib Al Qamari.   Kali ini di malam aidil Adha.  Seronok lah kata orang membuat persiapan kerana kali ini seperti biasa kami  turut mengerjakan ibadah korban buat anakanda kesayangan  Muhammad  Faiz dan Shahirah.  Sedekahnya buat Almarhum dan Almarhumah ayahanda dan bonda Tersayang. Itulah sahaja lambang kasih kami yang hidup ini untuk keduanya.

Dentam dentum guruh di langit semakin jelas sejak dari petang suasana mendung sudah ketara.  Disebabkan teramat sibuk saya melupakan apa-apa sahaja yang berlaku di luar rumah.  Selepas Isya' angin bertiup kencang.  Seperti biasa saya resah bila angin deras ini membalun ke rumah saya.  Penuh kebimbangan apabila ahli keluarga terpisah menjadi 3 bahagian.  3 anak saya berada di Rumah Ku Syurga ku, saya dan anak gadis berada di Teratak Dib Al Qamari dan suami berada Di Surau Al Nikmat.  Tiba-tiba hujan turun berserta angin menduru begitu lebat dan tepu. Di buai kebimbangan saya memerhatikan arah ke Surau kalau ada bayang-bayang suami saya disana.  Dia pasti punya payung untuk pelindungan sewaktu pulang.

Rumah kami ada ketikanya di masuki air, tetapi kami telah tahu punca dan kelemahannya.  InsyaAllah jika diurus dengan segra peluang air masuk kerumah itu adalah tipis.  Parit luar rumah sekejab sahaja sudah buntu, air hujan sudah melimpah dan air yang datang dari beberapa arah membuatkan saya cemas.  Berada di Teratak Dib Al Qamary saya tidak akan terjebak kerana rumah ini agak tinggi tanah tambaknya dahulu.  Dari remaja saya dan adik-adik tidak terperangkap dengan banjir kilat.....tetapi Rumah Ku Syurga ku dari kecil lagi saya selalu mengalami banjir kilat kerana kawasan yang rendah.

Menalipon kerumah didalam hujan...terjawab semua persoalan di kepala.  3 anak saya sedang berdayung membuang air keluar rumah yang masuk melalui celah-celah dinding rumah.  air jernih itu menyerap masuk begitu cepat.  Tidak sempat mengalihkan barangan sebab diserbu dari semua arah.  Apa kan daya banyaklah barangan terendam dan tak dapat diselamatkan.



Perabut baru yang saya beli turut terendam didalam air.  Rasa nak menangis saya dibuatnya....kualiti barang-barang sekarang memang tidak seutuh perabut lama menyebabkan saya begitu hampa, semua perabut-perabut ini baru kami beli setahun yang lalu.





Ruang bilik sembahyang juga terjejas dengan arus air dari depan rumah menyerap masuk melalui lubang air.  Sibuk kami membuang air di dapur, air dari lubang air dibilik sembahyang pula datang masuk ke hall tengah.











Alhamdullilah kami sempat melarikan barang-barang letrik yang penting-penting.  Hakikatnya disaat ini kami tidak lagi memikir apa-apa kecuali berusaha mengeluarkan air.





Di luar rumah berhampiran pagar depan sudah begini keadaannya.  Air sudah sama rata.










Titisan hujan besar-besar kelihatan seperti ombak kecil.  Ketara dibahagian belakang rumah yang di suluh oleh lampu.  Nampak jernih tetapi ...huhhhh sudah bercampur dengan air yang kotor agaknya. 






Kadang-kadang ketika air merentas masuk ini ada ikan Haruan tersesat laluan, sementara anak-anak Haruan turut menjenguk mengikut ayah dan ibu mereka. Hehehe...malam itu kami sudah terlupakan ikan Haruan sebaliknya terlonglai oleh kepenatan fizikal yang didera dan tiba-tiba.





Di bahagian sisi rumah sudah membuak-buak dan menyerap ke dinding.  Inilah hasil air dari hujan berlarutan dari jam 8.45 malam hingga ke 2.00 pagi.









Tidak pernah berlaku air naik ke garaj dan ke anjung rumah.  Malam itu keadaan  ini berlaku.







Itulah kan ramai yang mengeluh bila siang menjelma.  rata-rata kawasan Pt. Nipah bergenang air.  Banjir kilat bertahan.  Mujur air banjir yang singgah dirumah ku syurga ku dapat didayung keluar...yang sedih ada perabut yang musnah dan rebah kembang dik air.  Sebuah almari buku yang beratnya entah berapa tan tak dapat menahan berat dan diperbuat dari bahan yang tidak kalis air.

Apa pun Aidil Adha tetap kami raikan.  Alhamdullilah. 


5hb October 2014 @ 10hb Zulhijah 1435

Dihari kedua kami menyempurnakan hajat selepas magrib mengadakan kenduri Arwah.  Bila teringat terasa sebak...saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga abang N...abang Moktar, Kak Yan serta anak-anak  buahnya menyediakan juadah untuk malam tersebut.  Tetapi teramat malang Allah menduga keluarga itu sebaik sahaja juadah siap disediakan berita sedih mereka terima.....abang sulong mereka pergi untuk selamanya.  Al Fatihah ...mudah-mudah roh abang Salleh tenang dan ditempatkan dikalangan orang-orang beriman.

Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Jemaah Surat Al Nikmat atas kesudian menjayakan majlis malam itu.

Terimakasih, terhutang  budi kepada anda semua.  Semoga Allah jua yang dapat membalasnya.  InsyaAllah.

Sedikit kenangan mengusik jiwa saya titip dalam blog ini.  Segalanya datang dari Allah untuk kita insafi.  Semoga Tok Azhar buat sesuatu bagi meringankan bebanan kami menjelang musim hujan yang tak lama lagi... ( PARIT YANG SUMBAT...Emmm itulah puncanya...)

Saturday, October 11, 2014

Uban .........

Apahal lah saya ni kan kebelakangan ni tak ada " mood ".

Dah masuk dua tahun saya jarang-jarang keluar rumah.  Kalau keluar pun akan ditemani anak-anak dan suami.  Hakikatnya perjalanan hidup berubah dan terus berubah.........

Maka sampailah saat usia saya mencecah 57 mulai tengah malam ini.  Dah tua dah.  Uban dah mencelah.  Saya menyimpan impian agar uban-uban cepat memutihkan kesemua rambut-rambut saya...tentu ada kelainan diwajah....emmm, memutih bagai kapas, cantiknya!