Monday, December 13, 2010

Helang yang pulang...........





Tiga Helang yang terbang pulang
disenja yang kian sepi
matahari yang berhenti menari
begitu laut membeku
bibir yang terketar
mata yang pedih berpinar
jantung yang berhenti....
kini aku menjadi saksi.

Aku hanya seekur Angsa
yang berdiri rendah
kaki tidak jejak ke bumi
paruh tidak mencapai awan
aku hanya seekor Angsa
terlelah dalam kepayahan
kau terlalu jauh berterbangan
aku tidak lagi terdaya berenang.

Kau terlalu jauh berpergian
sedang aku meratapkan
tentang kasih yang hilang
begitu kau tak mungkin datang...
Tidak inginkah kau bertanya tentang aku
sedu ku putus begitu
hanya nyawa seekor Angsa Putih
yang tidak henti merintih.
Angsa Putih yang hilang kawan
untuk bermain ombak
Angsa Putih yang hilang kawan
untuk berteriak...

Biar nampak tak sedarjat
aku maseh memahami kamu.
Walau nampak tak sepadan
aku tetap perlukan kamu......
Kini angin berbisik sepoi
aku dingin keseorangan
hanya ombak yang setia
memujuk untuk bersamanya.....
Akan tapi
aku ingin mengikut kau pulang.



Ruang yang kosong.............

Ruang yang kosong untuk difikirkan
Salam yang manis untuk disampaikan
Akhtiar yang rumit untuk dilaksanakan
Khabar diri untuk di tanyakan........

Air mata biru yang mengalir
Tiada jawaban yang tertulis
Hanya mimpi jadi igauan
membentuk gerimis di bulan.....

ruang yang kosong milek daku
kini tertungging lesu....
Ruang kosong milek daku
kau biarkan begitu....

Lembut datang rakus pergi
terbenam semua senyuman
janji jadi wangi
dan
rindu yang bertali..
Ku simpan semua sepi
biar pagi jadi saksi...

Sembuh ruang
di hati
menjadi persembahan..
Sampai nanti di persimpangan
pimpin lah aku pulang..
Anggaplah semua ini
sebutir bintang yang terbit pagi...
dan nanti
Ruang kosong milek daku
penuh bunga jadi milek mu.



Wednesday, November 24, 2010

Di pinggir Hati.....................

Yang baik semuanya dari Allah dan buruk adalah kelemahan saya.

Rupanya saya terlalu luka. Terasa perasaan amat lemah. Macam ada sesuatu yang akan berlaku. .....

Saya terasa ingin membawa diri jauh-jauh, bersendiri.

lagu ini penganti diri.

Tuesday, November 23, 2010

Satu waktu dulu...............

Sewaktu kecil dulu saya tidak pernah ke TADIKA. Cukup 7 tahun terus sahaja ke darjah satu. Berlenang air mata bila melihat abah meninggalkan saya di kelas. Semua baru di situ. kawan-kawan, cikgu, termasuk pakaian dan bag sekolah pun baru. Budak manjalah katakan saya begitu pendiam, di saat itu kehidupan selalu diuruskan oleh orang lain terperuk saya di satu sudut di luar bilek darjah ketika rehat. Tidak pandai membeli makanan. Budak-budak lain seperti sekolah itu kepunyaan mereka. Bertempiar kesana kemari kegirangan. Kantin juga seperti kedai ibubapanya mereka berasak2 untuk mendapatkan makanan.

Saya tidak suka hidup yang begitu stragle, harus berebut-rebut dan bertempik-tempik. kanak-kanak lain biasa mencarut-carut sedang saya tidak biasa suasana sebegitu. kanak-kanak yang lain juga bertolak-tolak, saya juga tidak pandai berbuat demikian. Terus terang saya katakan saya tidak suka ke sekolah kerana tidak sesuai dengan jiwa saya yang sukakan ketenangan.

Di saat begitu saya kemudiannya telah dipikat oleh sebuah lagu yang di ajarkan oleh seorang guru muzik. Saya tidak lagi ingat siapa yang mengajarnya kerana sudah begitu lama....beliau membawa kami keluar dari bilek darjah dan duduk di bawah pohon besar bersama sebuah radio cassate. Belajar menyanyi dan inilah lagu yang pertama saya belajar di waktu itu dari guru Muzik. Senikata lagu maseh saya ingati sehingga kini dan suka mendengarkan kembali lagu tersebut. "Seorang Pelaut". Saya melekat di sekolah gara-gara sukakan lagu ini. Hari-hari saya menunggu waktu kelas muzik kerana tidak paham bilakah jadual waktu yang ditetapkan untuk mata pelajaran tersebut.

Apa yang hendak saya kaitkan dalam tulisan saya kali ini ialah cara pengajaran guru di zaman saya bersekolah. Saya rasa bukan saya sahaja tidak suka kesekolah malah ada budak-budak lain yang sebegitu, kadangkala terus cuba meninggalkan bangku sekolah jika ibubapa tidak menyokong dan mengambil berat sementara guru pula tidak kreatif memujuk jiwa kecil seorang anak.

Mengedari sekolah bukan tempat yang popular bagi kanak-kanak dengan usahanya menjadikan sekolah tempat belajar sambil berhibur menarik perhatian saya. Jiwa kanak-kanak sememangnya amat lembut, orang dewasa seperti kita selalu merasakan kita lebih hebat. Kita harus membentuk mereka dengan cara kita, kita terlupa jiwa untuk bersantai mereka perlu untuk pembangunan diri. Pokok-pokok besar untuk berteduh dan mengerakkan idea sudah habis ditebang, kawasan sekolah hanya berdiri bangunan batu yang gah dan panas. Anak-anak tidak ada ruang untuk menghidu udara segar dan merasakan angin sepoi daripada kawasan lapang yang teduh. {Teringat kepada pohon bunga Seroja di padang Sekolah Agama Pt. Jamil Muar yang sebelum ini saya lihat tempat kanak-kanak bertumpu dan berlari-lari riang....tidak pasti pokok ini maseh hidup lagi atau tidak....cukup tua usia pokok bunga seroja itu ).

Idea berkarya di bawah pohon rendang ini juga pernah saya rasakan semasa menjadi pelajar di Sekolah Menengah Raja Muda. Seorang guru bernama Abdul Rahman Yanti mempunyai sentuhan yang tersendiri kepada pelajar2nya. Guru seni telah menjadikan bawah lindungan pohon untuk tempat berkarya. Semasa beliau bertugas telah melahirkan banyak artis yang pandai melukis di kalangan pelajar di sekolah tersebut dan ketika itu saya juga salah seorang daripadanya hanya di tingkatan satu sudah menunjukkan bakat yang luar biasa.

Sewaktu saya menyambung pelajaran ke Maktab Adabi Muar saya terpegun dengan cara seorang guru wanita berbangsa Cina, nama beliau saya lupa, cuba menarik pelajar dengan mencintai bahasa english. Beliau sangat bersemangat memulakan kelas dengan sebuah lagu " 100 miles ". Saya sedang mencari lagu ini untuk di dengarkan kembali kerana lupa akan senikata lagunya, bagaimana pun irama lagu masih saya ingati. Beliau dapat menarik pelajar-pelajar mendekati pelajaran dengan hati dan tidak main-main. "My dear girls and boys your journey still far from home ". Kata-kata motivasi yang sentiasa di bibirnya.

Saturday, November 13, 2010

Ya Rabbana...........Monolog diri..



Jika kematian menjemput saya blog ini adalah bukti kasih sayang yang saya tinggalkan untuk anak-anak dan insan-insan kesayangan saya. Menjenguk kehidupan yang ada apakah saya akan pulang lebih awal seperti mana abang-abang sepupu yang lain. Saat ini saya mengimbau betapa cepatnya datangnya sebuah kematian. Kita tak sempat bersalam-salam untuk mengucapkan selamat tinggal..kita tidak sempat meminta maaf untuk kali yang terakhir..kita tak sempat berpesan-pesan dan memberi amanat terakhir...kita juga tak sempat bersedekah untuk kali terakhir.

Pahala kita cuma di ujong kuku. Kita kejar tetapi kematian semakin hampir sedang pahala dan amalan yang dikejar untuk kita melakukannya berada di graf paling bawah.
sesekali merasa amat takut akan kematian kerana memikirkan dosa yang dilakukan dan sesekali pula berdoa agar biarlah diri diambil terlebih dahulu kerana tidak sanggup ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi.

Apa pun yang pasti saya tidak sanggup bersendiri. Saya mesti hampir dengan dia. saya akan bercerita-cerita dan berkata serta berdoa kepadanya dan tidak mahu kehilangan dia. Dari kecil sehingga dewasa saya hanya melakukan segalanya kerana dia. Jika saya resah saya kembali kepada dia...jika saya gembira saya bersyukur kepada dia. Mudah-mudahan dia memberikan hidup yang setenang-tenangnya meski menemui kudrat yang paling berat untuk dihadapi.

Ya Rabbana......Pimpinlah hamba mu ini ke jalan yang engkau senangi.

Monday, November 8, 2010

Anak 2 - Bahasa Jawa Kebumin

Pasti anak-anak saya tidak paham apa yang telah di tuturkan di dalam rakaman ini.

Jika bercakap jawa dengan anak-anak saya ibarat bercakap di antara itek dan ayam mereka tercengang-cengang hendak melayan.

Pehh...habis lupus keturunan jawa yang boleh berbahasa Jawa bermula dari ibu saya dan adik-adiknya . Telo percakapan mereka sama seperti orang-orang Muar yang lain.....hilang langsung kejawaan mereka.

Saya hanya paham beberapa bait dalam lagu ini:

Tuo Enom lanang wadon
bermaksud; tua muda lelaki perempauan

Nanti ora eling anak bojo
bermaksud nanti tak kenal anak isteri

Tuku Salak neng Pasar
bermaksud beli salak di pasar.

Ewak emas
Bermaksud ikan emas.

Yang lain bele........ ( Kabur )

itu pun sebab saya sering mendengar emak saudara dan bapa saudara dari sebelah abah berbual-bual. Mereka ini memang tidak suka bercakap melayu sama sekali sesama mereka. Jangan harap mereka melayan saya dengan bercakap Bahasa Melayu sekalipun mereka boleh menuturkannya, mereka akan bertutur bahasa jawa kepada saya 100%.


Gunung Merapi dan isi hatinya..........








Terusik hati saya mengenangkan saudara mara yang berada di kaki Gunung Merapi. Barangkali ada di antaranya mengalir darah dari asal usul keturunan saya di bumi Jawa itu yang tewas dan bersemadi kerana bencana Gunung Merapi.

Kami telah putus hubongan sama sekali tidak mengenali sama sendiri kerana terpisah oleh Lautan dan selat. Di katakan Almarhum datuk saya Noja Ibrahim berasal dari gulongan Keraton dari Jogjakarta. Terasa amat terkilan kerana sehingga kini kami maseh mencari-cari kemungkinan dapat menemukan anak cucu dan saudara mara yang sedarah dan sedaging dengan nya kerana kisah kehidupan itu dirahsiakan di sebabkan penjajah dan perang saudara. Atuk Noja Ibrahim itu telah dibawa lari dari Jawa ke Tanah Melayu oleh sepupu beliau Hj. Palil dan Hj, Moksin sewaktu berusia 10 tahun didorong oleh kerencaman hidup di bumi Jawa. Beliau meninggalkan ibunya yang telah berkahwin lain selepas kematian bapa sendiri.Siapa adik beradiknya yang lain sehingga kini tidak dapat dikesan. Di Indonesia namanya Sukiman. Sehingga kini kami sedang mengesan saudara sedarah dan sedaging Atuk Noja Ibrahim.


Turut terharu dan seperti merasakan memang ada saudara mara yang mungkin mengalami bala bencana. Al Fatiah untuk hamba Allah termasuk saudara mara saya di sana, yang telah pergi menyahut seruannya. Harap-harap debu ganas itu tidak melebar sehingga ke Kebumen kerana ada di sana saudara mara saya yang masih hidup ,bertani di situ serta hidup sebagai orang biasa dan baru sahaja di temui (Anak Saudara Sepupu Almarhum Atuk Noja Ibrahim ).

Berikut Gambar kenangan:
Pertemuan keluarga sempena Hariraya Aidil Adha 2009 di Kebumen Indonesia.

























Al Fatiah buat warga Indonesia yang telah pulang dan takziah untuk warga Indonesia yang kehilangan sanak saudara. Semoga segala kepahitan yang di tempuhi dapat di hadapi dengan tabah dan reda.


Tuesday, October 26, 2010

Anak 1.....makan nasi jagung.

Lagu ini mengandungi sendiran yang tajam. Walaupun dibawa secara relek yang pasti pesanan yang dibawa amat penting. Ingatan untuk anak-anak saya Muhammad Khair, Muhammad Hafiz, Muhammad Faiz dn Shahirah Amini.

Hidup tidak selalu tenang. Hidup jangan sampai makan nasi jagung...

Friday, October 22, 2010

Soal Lelaki..........................

Tidak mungkin kita dapat kesemua benda yang kita mahukan. Kita memang di berikan banyak pilehan...akhirnya menemukan pilehan itu sebenarnya daripadanya (Ilahi ). Asalnya mungkin kita hanya memberi setengah hati dan akhirnya cuba memahami.

Lelaki memang berani..merempuh ombak di lautan. Penuh kekuatan memberikan dan menerima. Tidak takut mati dan hanyut oleh badai.










Lelaki keras semangatnya jika belum berjaya mendapatkan. Ternyata sanggup mengikat perut kerana ingin memileki hati seorang wanita. Penuh akal fikirannya dan berputar alam sekelilingnya untuk cuba merealitikan kasih. Sewa rumah, kereta dan menyimpan duit hantaran dan majlis perkahwinan sebenarnya amat terbeban. Kerja siang malam kerana seorang wanita.

Saya berterima kasih kerana memileki hati seorang lelaki yang memberikan saya penuh kasih sayangnya. Sekalipun hidup tidak semewah mana, cukuplah.. ..itulah kemampuannya.









Soal lelaki..tidak akan ada jawaban yang tepat.
Jika anda seorang wanita setelah berakad nikah:
Wajibnya bersetia, melupakan semua kenangan lama dan memaafkan kesilapan insan yang pernah bertahta di hati anda. Menjadikan mereka sahabat dan saudara kerana tuntutan agama. Mereka itu manusia biasa seperti kita . Mudah-mudahan mereka juga mendoakan kebahagian kita.

Jika anda seorang wanita setelah berakad nikah:
Jangan suka membandingkan apa yang kita mileki dengan apa yang di mileki oleh orang lain.
Menjaga mulut dari pada selalu mengungkit kerana suami mungkin tidak berkemampuan.
anda tidak boleh mengandaikan kehidupan begitu dan begini.....
kerana rezki itu rezki yang diberi.
jika hidup rasa susah..cuba-cuba kita membantu dan ingat pada tuhan selalu agar dibimbing dan dipandu olehnya.

Jika anda seorang wanita setelah berakad nikah:
Berilah peluang seorang lelaki itu belajar dan menjadi suami dan ayah tercinta.
Kelembutan dan rasa hormat seorang wanita itu akan melemahkan hati seorang lelaki.

Yakinlah Cinta seorang lelaki jika dia tidak menunjukkan kecurangannya.
Jika memang cinta itu sejati pasti dia akan dapat mengondol piala emas dari seorang wanita.

Untuk anda yang belum mempunyai pasangan..kenali calun pilehan betul-betul sebelum menerimanya.

Untuk anda yang sudahpun ada pasangan....cuba memahami dan bertolak ansur kepada pasangan supaya apa yang di inginkan kesampaian.

Untuk diri saya....mudah-mudahan terus menjadi isteri yang soleha. Amin.


Thursday, October 21, 2010

Jika kau pergi










Jika kau fikir begitu adil
kau bawalah rajuk mu
berdenyut mengikut jantung
bergerak mengikut nafas

dan

nanti akan aku letakan
di ujong sepatu ku kerinduan
di ujong rambut ku kesedihan.

Wednesday, October 20, 2010

Abah


















Telah meninggalkan saya dan adik-adik pada 16.3.1991.









































Sayang abah...Al Fatiah.

Tuesday, October 19, 2010

Kasih dan surat seorang perempuan untuk seorang perempuan...



Kasih....
percayalah kepada diriku....
hidup mati ku hanya untuk mu...

Banyak yang telah menangis kerana kasih . Apabila diimbas kembali rasa kehidupan bersama kasih ibubapa seakan tidak nampak kecelaan.
Masa bila mereka menangisi nasib dan resah, bila masa mereka begitu gembira kita tidak pernah ambil pusing akan semuanya.Sesungguhnya apa yang kita tahu, kita harus dapat apa yang kita mahukan.
Kita hanya bangun tidur, duduk bersarapan, kesekolah, bermain-main, kembali makan entah berapa kali seharian dan tidur semahu-mahunya sampai pagi. Menjadi rutin dan menghadiahkan semua masaalah kita kepada mereka.

Bila sahaja mencecah zaman remaja..kita sekali lagi tidak ambil pusing akan kata-kata mereka. Kita akan memileh kekasih mengikut naluri sendiri. Ternyata tidak sesuai dan kekasih pergi meninggalkan kita. Bangun kembali dan berjuang..menemukan kegagalan lagi...kerana mereka main-main dan kita tidak cukup cantik dan menawan.

Bagaimanakah rupa pasangan yang akan benar-benar akan membawa kita bahagia. Nasib diri di perjudi. Kita pasrah, jalan ketentuan di tangannya ( tuhan ). Jika bernasib baik , kebetulan jadi sabut akan timbul dan jika kalah, kita tenggelam seperti batu kedalam lautan yang dalam.

Apabila kita tenggelam tentulah amat sukar untuk naik kemuka air di lautan. Kita akan menangis sendiri dan terpaksa berjuang. Tercari-cari pertolongan dan siapa akan memperjudikan diri mereka untuk kita. Apatah lagi jika kita membawa beban bersama-sama...siapa yang sudi merenung jauh ke lubok hati kita?.

Kasih...dimanakah kesetiaan yang pernah dijanjikan. Kasih rupanya hanya maya tidak boleh dipegang sampai bila-bila..

Adik ku Zaharidah
kuatkan semangat anda. Mari bersama kami kembali.....dan Ya Allah selamatkan dia. Kuatkan imannya untuk terus berjuang.

Tuesday, August 31, 2010

Hanya Tinggal Mimpi....

Jatuh Cinta dan luka percintaan sesuatu yang amat berkesan. Dalam luka kita di tuntut untuk bangun meneruskan kehidupan. Tuhan maha mengetahui tentang apa yang di caturkan untuk insan kesayangannya. Allhamdulliah, dan bersyukur ...

Untuk anda yang pernah di lukai mohon kemaafan. Keroncong " Tinggal Mimpi " penganti diri....

Untuk anda yang baru menjalani Percintaan...Setia pada diri sendiri dan janji yang termetri.

Untuk anda yang belum mencubanya..berhati-hati dalam mencari cinta.

Sunday, July 25, 2010

Jangan Ada Benci



Insan yang lemah. Bertolak dari kehidupan di zaman kanak-kanak tidak semua kita berjaya melepasi dugaan hidup. Kehidupan ini sebenarnya sangat manis jika kita mengira sesungguhnya kehidupan ini milek penciptanya. Kita hanya dipinjamkan untuk melalui dugaan yang sentiasa didalam aturannya.

Harus bersabar dan merelakan.

Lagu ini menjadi penguat hati jika saya dilanda keresahan.
Habsah Hassan.... Sesungguhnya terasa terhutang budi sehingga ke akhir hayat dan seakan dia selalu di samping saya untuk memberikan dorongan untuk hidup seterusnya.Semuga Allah sentiasa memayung kehidupan dengan kemanisan dan ketenangan jiwa sehingga bila-bila......

Wednesday, July 7, 2010

Raya dengan Ubi Kayu ..........

"Tahun ini raya saya rasa tak nak buat biskut. Tak nak buat kek...
Orang sekarang dah tukar trend...tak nak makan biskut dan Kek. Dalam balang dia orang main jeling-jeling aje. Dah lah mahal...akhirnya rosak gitu aje".

"Lama lagi raya promosi dah bermula. Kalau disuruh merasa..rasalah juga...Masa promosi ni..hehmh memang sedap. Tenguk raya nanti dah lain rasa. 3 bulan sebelum raya mereka ni dah ready dengan macam-macam nama biskut dan kek...hehe..."

Sembang-sembang petang tadi dengan suami...." tahun ni kita raya jamu ubi ajelah!.

Apa kata tetamu agaknya?."
Ubi Kayu rebus...tentu raya nanti dah berhasil ubi-ubi yang kami tanam. Apa kata tetsmu saya nanti beraya dengan ubi kayu?. Balik cara orang dulu-dulu..

Insaf akan kekurangan diri demi mu Tuhan......

Dari dia kita datang, kerana dia kita meneruskan langkah demi langkah, kerana dia kita terus berjuang dan akhirnya kepada dia kita pulang.

Ya. Allah kau lapangkan kuburnya, kau ampukan dosanya, kau terima amalannya dan tempatkan dikalangan orang-orang yang engkau kasihi. Amin.

Untuk seluruh ahli keluarga saya yang dikasihi, cukuplah semua tangisan yang lalu, Reda dan berdoa kepada insan yang pergi. Kita pula teruskan menambah amalan sendiri...kerana..kita tidak tahu bila pula kita jemput pergi...

Tuesday, July 6, 2010

Surgamu dan harapan ku.......

3hb July 2010 @ 20 Rejab 1431.
Kehilangan dia Nordhliana Abas anak saudara saya, anakanda kepada Abang Abas b Hj. Nor dan Ngah (Zainon Yaakob ). Kedua-duanya sepupu saya.
Sepanjang hidup saya dia tidak pernah berkata-kata walaupun sepatah perkataan kepada saya jika kami bertemu. Saya tidak pernah mendengar suaranya. Saya hanya dapat kenangkan senyuman, anggukan dan lemah lembutnya serta berbudi bahasanya. Itulah Liana yang tidak banyak bicara.



23hb. Jun 2010
Almarhumah mengirim email untuk tag nama-nama keluarganya dalam Facebook saya...Emailnya saya jawab .."Yab..Taglah, Mak Long hanya tahu hujong-hujong nama kamu semua..Zai, Zam..Liana.."

Nampaknya dia tak sempat membetulkan Facebook saya itu..seminggu selepas itu dia dikatakan Coma. Saya kurang yakin yang coma itu dia kerana anak-anak buah tidak menjelaskan kedudukan sebenarnya. Saya keliru..bimbang Liana yang lain.

3hb July 2010 hari yang sibuk untuk saya. Mendaftarkan anak saya Hafiz ke Universiti Malaysia Pahang ke fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli.
6.00 petang membuka Facebook...ternyata saya lambat menerima berita pemergiannya untuk selamanya. Untuk ahli keluarga kami..semuga semuanya bersabar atas kudrat ini.

Al Fathiah. Wahai Tuhan ku kau tempatkan Liana ku di Surgamu. Amin.

Untuk diri saya dan anda....kita belajar dari kesilapan diri...Berusaha untuk melengkapi diri menuju ke Surganya dan tidak boleh menunggu dan menunggu lagi...Insaalah kita datang kepadanya dengan bersih sebutir kapas. ..jika dia mahukan...

Sunday, June 20, 2010

Memori Rindu sebuah lagu




Sebuah lagu yang meninggalkan memori yang dalam kepada saya. Kisah ini berlaku selepas saya menamatkan peperiksaan SPM 1974. Seorang teman lelaki telah menuliskan senikata lagu ini pada sebuah buku saya yang dipinjamnya. Dalam sibuk-sibuk menyusun semula buku-buku, Kebetulan pula ayahanda tiba-tiba muncul dan memereksa serta membelek-belek buku-buku saya.
" Anak abah sudah besar...sudah habis sekolah ". Baik sungguh mood ayahanda.
Tiba-tiba bulat matanya memandang saya dengan seribu tanda tanya kerana tulisan yang berbeza. Teman saya menulis dengan tulisan bersambung dan berbaring sementara tulisan saya bulat dan menegak. Tulisan yang kemas dicatat dalam buku Hisab Biasa berwarna biru muda itu telah menyatakan sesunguhnya saya sdang diminati oleh sesorang.

" Bercinta?. Awak sudah ada kekasih?". Soal ayahanda.
" Ooo...bukan kawan aja..". Pintas saya.
" Suruh dia datang rumah..abah nak tenguk ".
' Oh Tidak....". Saya kecut perut dan hanya mengelingkan kepala kerana cuba menapikan. Diketika itu tidak pasti tentang hati dan perasaan sendiri.
Masih kecil lagi untuk berbicara tentang hati. Cita-cita untuk mencapai gawang tidak memungkinkan untuk bercinta. Kami terlalu muda itulah jawaban kepada teka teki tersebut.

Apa yang pasti saya mengemari lagu ini sehingga kini kerana bait yang terakhir dari lagu itu yang berbunyi " Terimalah pesan ku ini, jaga baik diri mu sendiri ". Seperti pesannya untuk saya...saya juga berpesan kepadanya dengan pesan yang sama. Hakikatnya saya benar-benar menjaga diri untuk meniti kehidupan seterusnya selepas menerima kata-kata indah itu. Doa dari seorang sahabat akan membuat kita merasa rindu apapun doa itulah sebenarnya menjadikan kita benar-benar bahagi. Insaallah.

Dengan bait yang sama juga saya ingin berpesan kepada anak-anak saya yang akan keluar menyambung pelajaran ke Universiti dan melangkah masuk dalam kehidupan sebenar seorang dewasa........

Maksud kepada" Terimalah pesan ku ini,Jaga baik diri mu sendiri itu ":

1. Jangan tinggal sembayang kerana sembahyang tiang ugama dan tuntutan tuhan mu.

2. Hormati guru mu kerana doa guru memudahkan perjalanan hidup mu.

3. Pandai memileh teman untuk menentukan kejayaan mu. Teman suka mudah di cari teman susah payah dicari. Cari teman yang suka belajar bukan suka bermain. Lalui lorong yang dipileh dengan berhati-hati dan gunakan akal sebelum membuat keputusan.

4. Belajar secara terancang supaya tidak banyak masa terbuang.

5. Jaga kesihatan diri supaya otak cergas dan bebas bergerak.

6. Elak diri daripada menjadi pelajar yang berproblem kerana ia akan melemahkan perjalanan pengajian.

7. Percintaan dan harapan sangat kompleks. Melaluinya secara serentak akan menjejaskan sedikit tumpuan. Sebelum memulakan percintaan di kumpus pastikan anda benar-benar kuat dan tahan untuk merempuh kedua-duanya sekali gus. Kadang kala percintaan menjadi pendorong dan kadang-kadang menjadi cinta hampa yang menyakitkan.

8. 18 tahun adalah pemuda islam yang diarah berdikari oleh nabi. Majukan diri seberapa tinggi yang boleh tetapi bukan untuk menunjuk-nujuk dan bermegah-megah tetapi pikul dia sebagai amanah kerana umat islam perlukan pemuda sebagai tiang dan penyambung perjuangan umah. Behati-hati dalam hidup berdakwah dan pastikan tidak melakukan sesuatu yang melanggar akidah islam yang sebenarnya dan terlampau. Penjurusan yang melampau akan merugikan banyak masa muda kamu.

9. Berkongsi dangan orang tua jika ada masaalah. Minta pandangan dan sebaik mungkin membuat pileh yang terbaik dalam hidup kerana hidup hanya sekali.

10. Sesuaikan diri dengan persekitaran yang ada. Sebaiknya berperkerti baik kepada orang tua dan kawan-kawan. Jaga mulut bila berkata-kata. Kata-kata ibarat pedang yang tajam boleh membunuh sesama sendiri. Elakan dari pertengkaran sesama sendiri serta jangan berhutang atau mengambil hak orang lain semata-mata untuk kesenangan diri.

Selamat maju jaya dan teruskan perjuangan kerana anda adalah bunga-bunga bangsa yang akan menghasilkan buah dari benih kemanusiaan Malaysia di masa hadapan.

Thursday, June 10, 2010

CERITA DAN PETUA NYAIE 2 ...TENTANG UBI
















 



Ubi kayu juga nama saintifiknya di katakan manihot esculenta.
Singkong atau Tela kaspo di kenali oleh orang-orang Indonesia.

Khasiatnya;
1. Pembuka selera
2. Bahan makanan yang dikatakan membantu dalam perubatan secara tradisonal
seperti merawat
Cacing -
Daun muda dibuat sayuran. ( Daun itu mesti direbus dan diperah terlebih dahulu)
Ambil daun sahaja untuk dimasak . Rasa pahitnya di katakan membunuh cacing
Sakit kepala - Daun muda dipupukkan di kepala
Demam- Daun muda dipupuk di kepala
Reumatik- Daun muda dijadikan bedak dan di camporkan dengan sedikit Kapor Sireh.
Asas bedak adalah tepung beras yang digiling halus
atau tanah liat tertentu yang di dapati dari tanah menjadi camporan bedak sejuk ini.
(Saya pernah melihat ketika nyaie membuat keadah perubatan ini
tetapi kini saya tidak tahu punca dan bagaimana cara beliau mendapatkan tanah liat itu yang berwarna kekuningan dan halus itu).
Ruam Lampin -Sagu Ubi juga bagus untuk mengurangkan ruam lampin bagi kanak-kanak.
3. Tepung Sagu sangat enak dibuat Biskut dan kuih muih.
Ramuan untuk melengkapi adunan Keropok Ikan.
Tepung ubi juga boleh dibuat kanji untuk menganjikan pakaian tertentu.

Petua menanam Ubi untuk mendapatkan isi yang baik:

1. Batang Ubi jangan di potong diatas kayu. Di katakan jika dipotong diatas kayu isinya akan menjadi kayu.
2. Daun Ubi yang di tanam untuk mendapatkan isi tidak boleh dipatahkan dan dibuat sayur kerana isi ubi akan bertukar menjadi pahit, isinya dan tidak sedap untuk di makan.
3. Tanah dibatas ubi haruslah kerap digemurkan untuk mendapatkan isi yang banyak.

Ketika musim banjir bagaimana untuk menyelamatkan ubi yang anda tanam sebagai bahan makanan yang mungkin membantu anda sebagai makanan gantian sementara mendapatkan bantuan yang lain.

Sebaik sahaja ubi dicabut anda bolehlah terbalekkan ubi tanpa mencederakan isi dan batang ubi dan gantungkan dengan bahagian ubi keatas. Ubi akan tahan untuk sebulan dua sementara menantikan air banjir betul-betul surut.

Sekian,
Petua Nyaie barangkali dapat membantu anda pada satu masa nanti yang tidak pernah kita jangkakan!................

Teringat satu ketika dulu kami sekeluarga pernah menjadi taukeh ubi kayu..ketika itu saya masih kecil...

Monday, May 31, 2010

Taman Raudah


Saya benar-benar sayu dan teresak-esak ketika berdoa kepada tuhan
" Selamatkan saudara-saudara islam di bumi Pelestin. Hentikan peperangan, bencana dan kelaparan di kalangan saudara-saudara islam saya dimana saja mereka berada.Saya bershukur kerana mampu dan dapat berada di Bumi Raudah satu-satunya tempat yang di idam-idamkan oleh semua umat islam menjejaknya. Di sisi saya Makam Nabi Muhamad swa. Saya berdoa agar diajak lagi menziarah Masjid Mabawi dan Raudah kerana saya merasakan amat tenang dan damai menjadi hamba Allah yang pengasih lagi amat penyayang".
Semoga doa ini di perkenan.

Pelestin masih berjuang. Bagitu lama mereka menderita. Usia saya 52 tahun sekarang, sedangkan saya mengetahui berita kemelut disana sejak saya kecil benar. Ibubapa saya sibuk bersembayang hajat dan berdoa untuk saudara-saudaranya..berarti sudah 40 tahun atau lebih mereka berjuang dari datuk hingga ke cucu dan cicit entah berapa generasi berterusan dan mereka tidak lagi pelik dengan kematian atau kelaparan. Begitulah mereka berjihat dengan iman yang tebal kepada Allah.Mereka selalu berserah kerana hidup yang tersepit dan prajudis.

Insaf akan diri sendiri yang selalu lalai. Bersyukur kerana berada di bumi merdeka Malaysia. Semuga islam di Malaysia bersatu dan berdoa agar Allahi selamatkan kita semua dari bencana yang ngeri ini.




Doa mengiringi misi sukarelawan bantuan kemanusian yang didalam perjuangan. Semoga semuanya selamat pulang dan berjaya menyelamat insan di bumi malang itu. penat lelah dan semangat yang menyala menjadi tidak penting lagi bagi mereka, yang penting apa yang mereka bawa dalam misi perjalanan mereka adalah kehidupan semua penduduk di Gaza, makanan, ubatan dan bahan binaan semoga sampai ketangan umat islam di sana tidak di rampas dan menambah kekayaan zionis. Allahhuakkbar!. Shabas kerana cekal berjuang demi Allah tuhan yang satu. Untuk mereka pergi menyahut seruan Illahi semoga di tempatkan di kalangan orang-orang yang mati shahid. Insaallah.

Sunday, May 9, 2010

Petua Nyaie 1


Hari ini tiba-tiba saya teringat Almarhumah Nyaie saya Hjh. Samsinah @ Samsinar Ahmad semasa terpusing-pusing mencari penyelesaian setelah terkena ulat bulu yang bersembunyi di sebalek mop semasa saya mengemop lantai di luar rumah.

Panik...Tidak ada bekalan Anti Histemin seperti Tab Piriton di rumah , Hanya ada Calamain Lotion di meja tulis saya. Saya mengambil dan menyapunya segera. Sekejab sahaja menjadi bintik-bintik yang besar dan miang di kedua-dua tangan. Sambil itu saya mencari apa-apa ubat sapu yang lain kerana miang mula menjalar ke bahagian badan yang lain. Begitu cepat tubuh badan saya melawan benda asing yang menyerang. lalu teringat satu petua tinggalan Nyaiea apabila berdepan dengan masaalah sebegini..

Alin dengan Tepung beras.

Bermaksud; Sedikit Tepung beras di campurkan dengan sedikit ibu kunyit dan di buat seperti doh dengan dibancuh sedikit air, di gelekkan ketempat yang terkena tadi atau di bahagian-bahagian yang mula gatal.

Kali ini saya benar-benar praktis petua Nyaie ini...Sangat berkesan di mana kesan terkena yang mula membukit dan gatal itu beransur hilang sejurus kemudian.

Saya terfikir. Sebenarnya ada lagi petua yang Nyaie di tinggalkan pada saya . Ketika dia meninggal usia ku 7 tahun tetapi masih mengingati beberapa petua penting.

Antaranya:

1. Jika deman...ambil Daun Bunga Raya dan ramas ke dalam air. Pastikan daun-daun yang di ambil adalah bersih dari telur-telur seranga. Sapukan air campuran tadi keseluruh badan beberapa ketika. Suhu akan turun dengan cepat.

2. Jika demam ..di rumah tiada pohon bunga raya...Nyaie akan mengambil Daun Pisang dan di bersihkan dan di basuh dahulu..lalu di letakkan di atas tempat tidur dan anak kecil akan di letakkan di situ sambil dia membuat demahan sejuk ( air biasa ).

3. Cacing...Nyaie akan membuat Cekok perkataan Jawa. Nyaie akan gunakan sedikit Lempoyang ( Tumbuhan sepsis Kunyit ) di tumbuk lumat dan di masukkan kedalam nasi..lalu di suapkan mulut cucunya.

Kami sangat takut akan Cekok ini kerana rasanya pahit.

Petua saya ini sebenar amat berguna...Jika anda terdesak.

Saturday, April 24, 2010

Ketahuilah tentang Madu Lebah







Gula Dalam Madu:
Dikatakan :
1. Dapat memberikan tenaga dengan segera.
2. Ianya mudah diserap oleh usus tanpa diproses terlebih dahulu.
3. Tidak ada kesan sampingan terhadap organ usus atau pun Ginjal.
4. Membantu mengendurkan urat-urat yang tegang.
5. Boleh mengentikan sakit-sakit sendi
6. Sangat baik untuk pengidap athma dan batuk yang berterusan.
7. Tidak merosakkan gigi jika dibandingkan dengan gula biasa yang memungkinkan kerosakkan gigi.
8. Mempunyai keistimewaan yang tersendiri mengikut cara perubatan secara tabi'i sempurna
dan semula jadi.








Royal Jelly (Pati Madu Lebah )

Di katakan:
1. Berkhasiat untuk awet muda.
Mengembalikan kesegaran, kecantikan dan memelihara kulit.
2. Membantu mengurangkan
risiko bengkak saluran kencing (Prostat Lelaki ) di kala tua.
3. Cepat memulihkan kesihatan ibu-ibu yang baru bersalin dan sistem peranakan.
4. Membantu menaikkan antibodi badan melawan penyakit.
5. Membantu mengatasi masaalah kurang darah.
6. Mengatasi kanser darah.
7. Mengubati penyakit sendi.








Pengalaman saya tentang Madu Lebah:

1. Membantu suami saya menghasilkan benih yang matang,
selepas diuji di Klinik Pakar Puan semasa kami bergelut dengan masaalah ketiadaan zuriat.
2. Membantu anak saya dengan mengurangi serangan athma.
sehingga hampir 100% berkesan dan terbukti.
3. Amalan Bapa mertua saya sehingga kini.
Terbukti mencecah usia 85 masih boleh bergiat di Kebun Kelapa Sawit dan Kebun Pisangnya dengan cergas.
4. Rasanya yang masam manis apabila dicampurkan dengan air akan menjadikan kegemaran
bayi 6 bulan keatas dan dapat membantu
menguatkan immunitinya melawan penyakit.


Rujukan:
Ensiklopopedia Rawatan Penyakit Dengan Madu Lebah.
Abdullah Al-Qari Hj. Salleh.


Jika anda bermasaalah untuk mendapatkan Madu Lebah!.
Sila hubungi saya melalui email :
latifahkamarudin@gmail.com.

Saya akan membantu anda.......

Tuesday, March 30, 2010

Kesabaran insan 1. (Zuriat )

Dugaan selepas berumahtangga. Pertanyaan dan sindiran teman , saudara mara kadangkala menyakitkan.

" Bila lagi nak menimang cahaya mata ?"
atau
" Tak kan asik berdua aja, mana bag tangannya... ".
atau
" Bila lagi si anu...si anu tu dah masuk dua.. kau?... ".

Sebagai manusia biasa kita bersenang-lenang dengan soalan-soalan mudah yang menguris. Insan yang lain memendam rasa dan barangkali menangis di jiwa.

Andai kata anda dipertemukan dengan teman yang belum lagi mendapatkan zuriat, usahlah bisikan pertanyaan yang menyakitkan ini kerana jawaban yang sebenar terletak di tangan TUHAN MU.

Untuk anda yang belum mendapatkan kurniaan. Berdoalah, Sesungguhnya Tuhan sayangkan kita. Berakhtiar dan cari ilmu di dada semoga mendapat zuriat yang soleh dan soleha. Jangan berputus asa.

Tips bagaimana saya menghadapi masaalah di atas....

1. Bermohon dan berdoa kepada Tuhan tanpa jemu.
2. Menjaga kesihatan dan mendapatkan rawatan doktor.
3. Melupakan kesedihan kerana kekurangan diri.
4. Memaafkan insan yang tidak sengaja mengeji.
5. Menjaga kesihatan suami..dengan mengambil telur ayam kampong dan madu setiap pagi.
6. Suami isteri saling berkerjasama dan memahami terutama strategi yang diperlukan.
7. Banyak bersabar dan bersedia membuat pengorbanan.
8. Saling menjaga hubungan dari di hempas badai.

Friday, February 19, 2010

Tanya sama pokok

Step by step........Faiz!

Hati mana yang tidak dilanda kebimbangan..bolehkah anak ini berdiri dan berlari..













ANAK YANG BERJALAN MENGUNAKAN LUTUT HAMPIR SETAHUN LAMANYA KINI SUDAH BESAR.














HA
PPY BIRTHDAY KE 18
















Tanya sama pokok...........lagu hadiah harijadi kepada mu kali ini sayang!.














Kecilnya meminati muzik, tidak tidur kecuali dengan muzik.
botol susu akan dilempar terus sebaik sahaja habis dari buaian.
Kurang meragam dan nampak cepat matang.
Gopoh dan mahu cepat setiap langkahnya.
bertutur pantas membuat kita ketinggalan.

Disini;

Saya ingin menasihatkan ibubapa yang menghadapi masaalah yang
yang sama seperti saya jangan bersusah hati. Temui doktor untuk mendapatkan nasihat dan berusaha melatih anak berdiri dan berjalan. Bercakap-cakap dan memujuk barangkali ubat yang paling mujarab. Anak ini sebenarnya mahukan sesuatu dengan cepat ketangannya dengan cara yang mudah.